Tuesday, February 9, 2010

MCU-01 Kestabilan kenderaan




Gambar di atas menunjukkan sebuah kereta yang sedang meluncur laju tanpa menggunakan keempat-empat tayarnya. Ya, anda pun mampu berbuat demikian dan perbuatan di atas sering kita lihat terutama apabila menjelang musim perayaan. Tetapi anda dinasihati supaya tidak meniru aksi di atas dengan menggunakan kereta Proton atau Perodua anda. Untuk yang tidak menggunakan kereta tempatan dan degil utk mencuba aksi di atas, sila pakai tali pinggang keledar anda.


Gaya di atas hanya boleh dilakukan ketika sebuah kereta itu hilang keseimbangannya dan pemandu hilang pertimbangan. Keseimbangan sebuah kereta terletak pada pusat graviti kereta tersebut manakala pertimbangan manusia tidak terletak pada pusat mereka sebaliknya pada otak masing-masing.


Pusat graviti adalah tempat di mana kesemua beban berkumpul untuk sesuatu jirim. Kereta misalnya adalah sebuah objek berbentuk empat segi jika dilihat dari bawah dan sepatutnya pusat graviti tertumpu pada bahagian tengah kereta tersebut. Pusat graviti sebuah kereta boleh berubah mengikut bentuk kereta berkenaan atau kedudukan beban seperti penumpang, pemandu, kedudukan tayar, berat enjin dan kuasa enjin.

Perkara yang paling penting dalam menentukan pusat graviti sesebuah kereta adalah ketinggiannya dan pembahagian berat di hadapan, belakang, kiri dan kanan. Jika berat sama rata, pusat graviti akan tertumpu di bahagian tengah kereta tersebut dan menyukarkan kereta tersebut untuk hilang kawalan.

Selepas pusat graviti kereta anda dikenalpasti, dan ianya selamat untuk melakukan aksi yang tidak sepatutnya di jalanraya, keutuhan rangka kereta anda perlu diperiksa. Sebuah rangka yang kukuh mampu menjadi kestabilan yang tinggi. Jika rangka kurang kukuh, beban dan momentum boleh berpindah semasa proses inersia berlaku. Ini akan memberi g-force yang tinggi kepada bahagian yang menanggung beban tersebut dan menukar arah pusat graviti kereta anda. Contohnya semasa memecut, tanpa rangka yang kukuh, beban kereta anda akan bergerak kebelakang menjadikan pusat graviti anda juga berpindah ke belakang. Semasa memecut bahagian kereta anda lebih berat dari hadapan dan proses yang sebaliknya semasa brek dikenakan. Ketika mengambil selekoh juga beban akan bergerak ke arah bertentangan atau ke arah yang anda tuju bergantung kepada selekoh dan teknik pemanduan anda dan ini dinamakan "body roll". Teknik juga penting untuk mengabil selekoh bagi membolehkan anda mengawal pusat graviti kereta anda dan mengelakkan "body roll". Contohnya dalam sukan DRIFT, pemandu akan menghantar beban ke belakang keretanya untuk membuang bahagian belakang kereta ke tepi. Dan dalam sukan Rally, biasanya pemandu akan menghantar beban di bahagian belakang, depan dan terpaksa menahannya di tengah-tengah bergantung pada keadaan jalan dan selekoh.

Proses membuang bahagian belakang dipanggil "oversteer" dan proses membuang bahagian hadapan dipanggil "understeer". Kereta jenis FF (enjin hadapan pacuan hadapan) lebih cenderung untuk "understeer" dan kereta jenis FR (enjin hadapan pacuan belakang) lebih cenderung untuk "oversteer". Ini menjadikan kereta jenis FR lebih sesuai untuk suka DRIFT.

Anti roll bar, berfungsi untuk mengurangkan beban yang dihantar ke bahagian bertentangan semasa proses body roll. Anti roll bar terletak diantara tayar kiri dan kanan di bahagian depan dan belakang. "Strut bar" juga berkesan untuk mengurangkan body roll. Cara lain untuk mengukuhkan rangka kereta anda adalah dengan "spot weld" di mana rangka kereta anda akan di 'welding' di bahagan yang tertentu.

Sistem suspensi juga penting untuk menstabilkan kereta anda. Biasanya sistem suspensi yang keras mampu menjamin kestabilan yang tinggi kerana kurang pergerakan antara tayar dan rangka kereta anda. Semasa anda memecut atau brek, daya akan dikenakan pada sistem suspensi anda, sistem suspensi yang lembut akan cuma mengurangkan hentakan dan membuatkan anda selesa tetapi daya yang terkumpul akan menekan tayar anda dan rangka kereta anda menjadikan ianya dalam keadaan terapung dan memantul (bounce). Satu daya dari atas ke bawah dan bawah keatas akan berlaku dan berulang sehingga penyerap hentak (absorber) anda menyerap kesemua daya tadi.

Lain pula kisahnya jika ia berlaku di selekoh. Satu daya graviti akan menolak kereta ke kiri dan ke kanan dan menjadikan kereta anda hilang kawalan akibat satu daya yang tidak mampu ditafsir. Bayangkan anda sedang mengambil selekoh dan tiba-tiba satu daya menolak anda ke tepi dan dalam masa yg sama ke atas dan ke bawah. Anda mungkin tidak mampu manafsir daya tersebut melainkan anda pemandu profesional.

Namun sistem suspensi yang keras hanya berkesan di atas jalan yang rata. Untuk jalan beralun sistem suspensi anda bukan hanya perlu keras, tetapi ia perlu lembut untuk menyerap sebarang daya dari alunan jalan tersebut. Jadi di sini keras bukanlah penyelesaian di atas jalanraya melainkan anda berlumba di atas litar lumba. Sistem suspensi yang bagus akan menyerap hentakan dengan berkesan dan mengurangkan peralihan daya. Ia perlu keras tetapi tidak begitu keras dan ia perlu lembut tetapi tidak terlalu lembut. Jika terlalu keras ia akan menghantar daya ke tayar dan membuatkan tayar hilang geseran. Dan terlalu lembut membuatkan kereta anda memantul.

Ketinggian kereta juga memberi kesan yang besar, sistem suspensi yang rendah mampu memberi pusat graviti yang lebih baik. Begitu juga kedudukan tayar, adakah ianya tegak atau terkeluar?

Tayar, satu faktor penting dalam pemanduan. Tanpa tayar kereta tidak akan bergerak dan tanpa tayar, tiada geseran berlaku. Tayar yang baik akan memberi geseran yang sangat sempurna. Ketika memecut ia akan memastikan kereta bergerak ke hadapan. Tanpa geseran yang cukup tayar akan terapung (wheel spin) dan membuatkan kereta anda hilang kawalan semasa memecut. Ketika membrek juga tayar yg baik akan memberhentikan kereta dengan cepat. Teknik juga penting dalam membrek. Jika tayar anda terhenti secara tiba-tiba (lock) inersia kereta anda akan menolak kereta anda ke hadapan dan membuatkan ia hilang kawalan. Dengan sistem ABS, ia akan mengelakkan tayar anda berhenti secara tiba-tiba dan mengelakkan hilang kawalan. Jika kereta anda tidak dilengkapi ABS, anda boleh melatih kaki anda untuk berfungsi sebagai sistem ABS sepeti pelumba-pelumba profesional.

Dalam selekoh, apabila anda hilang geseran, daya graviti akan menolak anda ke tepi atau ke mana saja inersia anda berada. Ini akan membawa anda bercuti ke semak, gaung, tembok mahupun longkang. Tekanan angin dalam tayar juga penting untuk kestabilan kenderaan anda. Terlalu tinggi akan membahayakan anda ke selekoh, Terlalu kurang anda akan hilang kawalan. Jadi apabila anda memilih tayar, pastikan ianya cukup selamat untuk membawa anda ke destinasi.

Teknik dan pengalaman cukup penting dalam memahami kestabilan kereta. Anda boleh mempelajarinya di atas litar dan elakkan di atas jalanraya. Anda mampu mengubah jumlah kemalangan jika anda mampu mengawal kereta anda.


Copyright-deadMeta 2010, All picture belongs to their respective owner. We do not own any of the picture unless stated. All article are 100% original.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger