Pages

Wednesday, February 23, 2011

Crew Blog: Permulaan



Nissan Daishin Silvia S15, sebuah kereta GT dengan transmisi 7 kelajuan! Agak hebat pada waktu tu. Aku sangat terkejut dengan prestasi jentera berkenaan. Sangat stabil atau harus dikatakan.... sangat dengar cakap! Mudah dikendali pada kelajuan tinggi. Di tahap ini aku telah mahir menggunakan suspension setup dan gear ratio setup. Waktu tu siap ade nota lagi untuk setiap trek! Untuk trek panjang dan pendek masing-masing ade setup gear ratio dan suspension berlainan. Tanpa difahami oleh budak 14-16 tahun, permainan ini betul-betul telah mengajar sesuatu. Sesuatu yang aku tak sangka boleh digunakan kelak.



Pada umur 16 tahun, aku diberi sebuah motorsikal model Suzuki FXR dengan 150cc. Sebuah motor yang agak besar untuk budak baru belajar waktu tu. Mula-mula memang kelakar la, belajar motor dengan clutch. Tapi waktu tu dah nak masuk tingkatan 5 jadi aku gunakan motor tu ke sekolah. Waktu tu memang taktau mana satu sprocket, mana block enjin, ape tu head. Jalan je waktu tu. 150Cc DOHC, torque memang sangat kuat! Tapi bile lama pakai dah mula belajar satu-satu part.


Tiba la waktu habis sekolah, tangan dah mula gatal nak modified bila kawan-kawan selalu je modified. Tapi kawan semua pakai scooter je, modified sampai blok naik 180cc pun takla laju mana. Kene pulak time tu saya menyertai kelab motor yang agak serius. Kelab ni selalu pegi trackday kat sepang circuit. Waktu tu baru tau, pegi sepang hari ahad waktu track day, bayar RM150 dan boleh lenjan motor suka hati. Syarat waktu tu ade full face, jaket kulit, dan knee slider serta glove. Waktu tu je ade 2 bijik helmet fullface. Kelab ni rajin jugak naik turun awana hari ahad. Sebab mereka ni boleh kata golongan profesional dan bukan rempit jalanan, cara mereka modified motor tu lain macam sikit la. Bukan je nak laju tapi nak reliable. Sesuai di pakai di semua jenis keadaan. Atas nasihat beberapa orang dalam tu tentang cara nak modified motor tu, aku pun mula la hantar ke bengkel.


Waktu tu motor tu diarahkan diubahsuai dengan spec yang diberi. Engine block dinaikkan jadi 180cc. Tak sangka pulak torque dia akan jadi lebih besar sebab orang lain modified scooter tak kemana, tapi takut pulak bile dapat enjin yang macam ni. Tapi tak setakut aku try motor Ninja 636 la. Penah test ride Ninja 636, gear satu je aku dah trauma! Tapi oleh beberapa sebab kesalahan bengkel yg usik2 motor aku tu... terkubur la motor tu pulak. Jadi conclusion kat sini, kalau tak kenal sangat workshop punye skill, jangan pandai2!


Umur 18 tahun lepas SPM, aku mula belajar bawak kete. Bile dapat lesen hari-hari lenjan kete mak aku. Wira aeroback 1.5 auto. 89Bhp top speed 100kmj je time tu. Belasah la, janji bole jalan. Time tu kasar, ingat dunia ni dunia lumba je walau kete tak laju. Tapi sebab tau tu kene mak aku, aku bawak hati jela.






Bulan Julai waktu tu, aku pun start masuk kolej. Jurusan kejuruteraan automotif. Semester pertama memang bosan. Belajar balik fizik, matematik dan kimia. Tak sentuh bab automotif lansung! Hujung semester aku dapat kereta wira tu kat tangan aku. Mak aku pun dah ade kete lain dah time tu tapi takdela jauh aku berjalan sebab duit minyak tak banyak time tu. Cukup aku jalan sorang-sorang je. Kat sinilah cerita aku bermula....


Crew Blog: Pengenalan




Hai, selamat datang ke blog saya, atau patut saya ucapkan selamat datang ke dunia saya! Saya Hilmi dari Konmei Automotive Division yang sering menulis di blog Konmei Institution ni. Di sini, di ruang saya sendiri tidaklah saya berhajat untuk menulis sebarang hal persendirian tapi cuma automotif dan motorsports dalam perspektif saya sendiri.


Tapi siapa saya untuk menulis apa-apa tentang dunia automotif saya? Seorang engineer? Pemandu profesional? Tuner? Pembuat kereta? Maaf kalau saya mengecewakan anda, saya cuma seorang yang baru dalam dunia automotif, tapi taklah baru mana, tapi masih lagi seorang yang baru belajar. Jadi mengapa anda harus mengikuti blog ini? Dari seorang beginner kepada seorang beginner. Saya telah melalui jalan yang mula-mula anda lalu dan kini jalan yang lebih baik dari membuang masa di jalanan.







Saya tinggal dan membesar di Kuala Lumpur. Perkara yang membuatkan saya terus ke dalam dunia Automotif adalah kerana permainan video Gran Turismo 2 dalam Playstation. Di situ, membeli kereta baru dan terpakai, mengubah suai, menang, kalah dan hilang kawalan adalah sesuatu yang baru dan menyeronokkan. GT Japan Championship (sekarang dikenali dgn Super GT) adalah satu-satunya sukan bermotor yang saya minat pada waktu tu. Banyak karakter dalam Gran Turismo terdapat dalam perlumbaan berkenaan dan bagi saya, pada waktu itu Formula 1 agak membosankan tapi dunia WRC telah menceriakan suasana.





Kereta pertama yang bertanggungjawab membuatkan saya terjerumus ke lembah automotif dan sukan bermotor ni adalah Toyota Supra RZ. Bagi seorang budak 14 tahun pada ketika itu, saya berminat pada bentuknya dan prestasinya dalam permainan Gran Turismo 2. Pada waktu itu saya tak tahu menahu mengenai enjin 2JZnya atau sistem twin turbo yang menjadikan Supra lebih istimewa. Namun pengendaliannya yang sangat mudah di atas litar membuatkannya kereta yang terbaik lebih-lebih lagi dalam perlumbaan GT Japan ia selalu menjadi juara pada ketika itu. Tetapi di satu tahap Toyota Supra RZ telah diubahsuai turbonya menjadi lebih besar, LSD yang lebih tinggi, ia menjadi liar dan sukar dikawal tak seperti waktu ia mula dibeli. Saya makin keliru dan mula mencari kereta baru.


Friday, February 18, 2011

Weight Transfer




Ini bukanlah program untuk mengurangkan berat badan ataupun artikel diet. Weight Transfer di sini bermaksud berat kereta dan gforce yang sentiasa beralih akibat pemanduan seseorang yang sangat agresif atau tak berhati-hati.



Mari berkenalan dengan weight transfer. Gambar di atas menunjukkan sebuah kereta. Anggaplah kotak kelabu tu sebuah kereta walaupun tak berupa kereta dan hijau mewakilkan berat kenderaan.

Dalam keadaan statik iaitu tidak bergerak, berat berada di tengah-tengah. Dalam Pecutan pula berat terbahagi kebelakang akibat gforce dihasilkan apabila memecut dan bila memperlahankan atau memberhentikan kenderaan, berat akan terbahagi kehadapan.

Perkara semudah ini ramai yang mmungkin telah belajar secara tak sengaja semasa memandu. Untuk merumitkan lagi keadaan ini, mari kita ke atas jalan dan mencari masalah dan mengelirukan diri sendiri dengan lebih mendalam.



Memang rumit la apabila kita gabungkan "Racing Line" dan "Weight Transfer". Bukan setakan Racing line, teknik brek dan kawalan steering juga memainkan peranan di sini.




Gambar menunjukkan 2 jenis pemandu. Pemandu di atas adalah pemandu amatur yang agak kurang pengalaman dalam memandu. Beliau tidak bersedia untuk mencari apex atau tidak menghiraukan bentuk selekoh yang bakal dicabar, dilihar titik hijau bertempiaran di merata tempat dan kurang lancar.

Gambar bawah pula menunjukkan pemandu yang lebih berpengalaman di mana titik hijau mewakili berat kenderaan lebih cantik. Di sini kereta masih mengalami gforce yang kuat cuma lebih teratur. Penumpang akan berasa lebih selesa dengan pemanduan begini kerana pergerakan kedepan, kiri dan kanan dan kebelakang. Dengan melaksanakan weight transfer dengan lebih lembut, oversteer atau understeer kenderaan berkenaan juga boleh dikurangkan.

Untuk mengendali weight transfer dengan lebih baik, racing line, apex, teknik brek, teknik steering sangat penting di sini. Penentuan masa juga sangat penting dan ini semua bergantung pada pengalaman anda.


Menguji kefahaman anda dengan RPM rendah dan kurang menggunakan brek dan mengurangkan pecutan juga adalah satu idea yang lebih baik. Tidak ada yang lebih baik melainkan anda menghidupkan kenderaan anda dan perbanyakkan latihan. Mungkin boleh cuba dengan kelajuan yang biasa sebelum pergi lebih laju.

Saya melatih diri dengan membeli air tin setiap kali sebelum ke kolej kerana jalan ke kolej sangat mencabar. Air tin dibuka, dihirup sedikit dan diletakkan seperti gambar pertama. Air takkan tumpah ke bawah tapi akan bertakung di atas tin. Jangan sekali-kali menggunakan cawan polistrin seperti dalam cerita Initial D kerana jalan di Malaysia tidak serata jalan di sana.


Artikel ditulis oleh Hilmi - Konmei Automotive division








Saturday, February 5, 2011

Kereta Hero Anda


Masih ingatkah anda dengan kereta idaman kita semasa kecil-kecil dahulu? Kita disajikan dengan kepantasan jentera-jentera lumba yang laju dan dahsyat. Mungkin kita tak ingat lagi nama kereta itu, Cuma bermain di minda dan mimpi. Mungkin jua fiksyen yang kita tontoni di peti televisyen.

Setiap generasi ada kereta hero masing-masing, sesetengah generasi meminati dan mengagung-agungkan kereta pada zaman masing-masing. Kereta seperti Ford Escort mark 1, Jaguar E-Type, Nissan Bluebird, dan Lancia Stratos hanya akan diminati sesetengah golongan. Zaman GranTurismo pula memperkenalkan kita pada kereta seperti Nissan Skyline, Mazda RX-7, Toyota Supra dan Mitsubishi Lancer dan kemungkinan juga kereta –kereta yang lebih eksotik. Dan generasi sekarang pula mula meminati kereta sport atau supercar yang dievolusi dari zaman-zaman terdahulu, seperti Mazda RX-8, Ferrari Enzo atau Porsche 911.

Ada juga yang menyanjung kereta fiksyen seperti DeLorean Back to the future, kereta-kereta Batman, James Bond, Knight Rider KITT, dan baru-baru ini Transformers. Ramai yang inginkan mesin atau jentera mereka mempunyai kelebihan seperti merentasi masa, berpeluru berpandu, mempunyai minda yang tersendiri, dan berpelbagai aneka gajet. Sehingga dewasa pun kita menginginkan sesuatu yang istimewa dengan kenderaan kita, sudah tentulah tindakan kita tidak seperti kita kanak-kanak lagi. Lalu kita mengubah suai kereta atau membeli replika kenderaan-kenderaan tersebut.



Permainan video juga memainkan peranan untuk merasa serba sedikit kita memiliki kereta-kereta sport idaman kita walaupun belum tentu mampu memilikinya(Kepada yang mampu bertuahlah anda). Setelah kita meningkat dewasa pandangan kita terhadap kereta berbeza pada setiap individu, ada yang mengangap kereta tu kawan, kereta tu mesin untuk berlumba atau dipamerkan, ada juga yang tak lebih dari sekadar pengangkutan, dan ada juga memiliki kereta untuk melambangkan status. Oleh yang demikian kepada generasi muda seperti adik-adik dan anak-anak, belajarlah bersunguh-sunguh supaya cita-cita anda kesampaian, dan mereliasasikan untuk memiliki kereta hero anda.


*saya menukar penggunaan bahasa adalah atas permintaan – Mohd Ali Ahsyar, Konmei Technical Historian.





Thursday, January 27, 2011

Drive Clinic January 2011




Pada 15 dan 16 Januari 2011 Konmei Drive Clinic pertama telah diadakan. Bertempat di Sungai Congkak sebagai destinasi rehat kami. 2 kumpulan berasingan datang, satu dari sebelah Wangsa maju dan satu lagi pada sebelah Bangi.


Pukul 2 petang dijadualkan untuk kami berkumpul di tempat yang telah ditetapkan iaitu di Wangsa maju seksyen 2 atau di bulatang KLIUC.

Tepat pukul 3.40 petang 5 orang ahli kami dari bahagian wangsa maju telah tiba dengan 4 buah kereta. Cuaca agak mendung tetapi kami tetap meneruskan rancangan kami. Tanpa belengah kami memunggah barang-barang dan bersiap untuk aktiviti kami sementara menunggu ketibaan ahli dari bangi.

Pukul 5 petang ahli dari Bangi telah pun tiba, kelewatan mereka membuatkan jadual terpaksa dirombak kerana ada antara ahli telah penat dan meminta untuk berehat. Malang tak berbau, kemalangan kecil telah berlaku diantara ahli bangi yang membawa 5 buah kereta dengan 7 orang ahli. Walaupun hanya kemalangan kecil dan menyebabkan bumper kereta tercalar dan retakan kecil sewaktu mengelak bas yang berhenti secara tiba-tiba, ia tetap diambil berat oleh pihak kami kerana ini menyebabkan konvoi kami masih lemah dan kami akan cuba memperbaikinya kerana kami tidak mempunyai ruang untuk sebarang kesilapan kecil sekalipun.

Jam 5.30 petang, kami mula menyalakan api dan memanggang beberapa makanan. Ada yang mengambil kesempatan untuk berehat tak kurang juga mereka yang terus terjun ke dalam sungai. Menu kami tidaklah mewah tapi cukup untuk mengisi perut masing-masing, sosej dengan roti, kek ikan dan coleslaw sebagai hidangan minum petang.

Jam 8.30 kami berkumpul untuk briefing sebelum memulakan aktiviti cruise kami yang sepatutnya berlaku pada pukul 5 petang. tapi oleh kerana kelewatan ahli kami terpaksa kami tunda jadual. Seletah puas berehat, segar bermandi sungai dah perut diisi makanan setiap ahli dinasihati agar mematuhi undang-undang cruise kami iaitu tidak melebihi 70kmj dan tidak dibernarkan memotong sesama sendiri. Perjalanan kami bermula dari sg congkak dan mula meningkatkan kelajuat selepas susur ke sungai gabai. Jalan yang agak basah dan kabus yang agak tebal menyukarkan perjalanan tapi dengan had laju 70kmj tidak menjadi masalah bagi kami. Kami berpatah balik pada susur ke ampang hilir dan memandu terus kembali ke sungai congkak. Tiada kemalangan atau masalah berlaku sepanjang perjalanan.

9.40 malam semua yang terlibat untuk cruise telah melaporkan diri kembali di sungai congkak. Kami memberi 20 minit untuk mereka berehat kembali kerana kami akan berkumpul untuk sesi berkongsi pendapat.

tepat jam 10 malam, kami berkumpul sekali lagi dan masing-masing telah berceritakan tentang drive clinic kami yang pertama di mana hanya orang tertentu sahaja dijemput. Kebanyakan berpuas hati dengan event yang disediakan cuma kelajuan cruise kami menjadi persoalan. Bagi mereka ia tidak cukup laju. Di sini Hilmi sebagai presiden Konmei Institution telah menjawab mengapa had laju diletakkan dan kenapa jalan yang agak mudah diambil untuk Drive Clinic pertama ini.



Event kami bukanlah untuk melatih pelumba jalanan atau mengakibatkan sebarang masalah. Ia satu aktiviti untuk mengawal mental masing-masing untuk bersikap lebih rasional di atas jalan raya sambil mangasah skill mereka. Meraka disarankan memandu dengan halaju yang ditetapkan tetapi membuatkan pemanduan itu lebih mencabar. Proses ini akan mengakibatkan pemandu berkenaan mengurangkan penggunaan brek, mengurangkan body roll dan gforce dalam kereta masing-masing dengan kelajuan yang ditetapkan. Dan untuk membuatkan keadaan lebih sukar, pemandu digalakkan menggunakan 1 lane sahaja dan tidak mengganggu lane sebelah. Ini adalah modul pertama bagi Konmei insitution dan modul ini dipraktikkan di Drive Clinic pertama kami. Kami tidak mencari pemandu yang mampu memandu laju dan tidak menghiraukan pemandu lain, perkara di sekelilingnya dan juga keadaan keretanya. kami mencari pemandu yang faham situasi sekeliling, diri sendiri dan keretanya juga kerana dalam setiap perlumbaan, menghabiskan satu perlumbaan adalah lebih penting.

Jam 11.30 malam 2 lagi ahli kami sampai untuk memeriahkan suasana dan kami mengadakan sesi makan malam sekali lagi. Menu adalah burger dan sosej. Hidangan air teh panas, kopi panas dan juga makanan ringan turut disediakan.

Jam 12 malam kami membuka 'Open Session' di mana ahli yang lain boleh keluar mencari jalan masing-masing untuk memahami dengan lebih lanjut apa yang mereka pelajari dalam sesi cruise dan memahami konsep modul pertama kami.


Mana-mana ahli yang tidak menghadirkan diri ke open session akan terus berada di chalet kami dan bertukar pendapat. Pukul 3 pagi semua kembali berkumpul dan ramai antara mereka terus tidur.

Pukul 9 pagi hari ahad 16 januari, kami mula berkemas dan menamatkan Drive Clinic kami yang pertama pada jam 10.30 pagi






Thursday, January 6, 2011

Racing line


TIDAK!!! Gambar di atas takde kene mengena lansung dengan topik di atas! Gambar di atas hanyalah gambar sebuah Lotus dengan 'racing stripe' bukan racing line!

Walaubagaimanapun jika anda tidak memandu kereta Lotus atau tidak mempunyai sebarang racing stripe, anda mampu menggunakan racing line bila2 masa dan di mana jua anda memandu. Gunakan sebaik mungkin walaupun tak pernah ade cikgu memandu anda mengajar mengenai istilah ini.

Racing line adalah sebuah garisan yang hanya boleh dilihat oleh pemandu terlatih dan mempunyai kesenian dalam ilmu memandunya. Tujuan racing line ini adalah untuk mengekalkan kedudukan kenderaan di dalam ruang jalannya di samping mengelakkan sebarang kegagalan untuk mengawal kenderaan tatkala hukum fizik mula mengambil alih logik akal fikiran anda.

Sebelum anda mengenali racing line, anda perlu mengenali APEX. APEX adalah satu titik atau satu point untuk anda menentukan kestabilan kereta anda akan terganggu. Seperti sebuah jarum pada jangka lukis anda, titik berkenaan menentukan penamat yang membuatkan anda bermula untuk menukar haluan atau bertindakbalas apabila kereta anda hilang pertimbangan.

APEX berubah mengikut keadaan jalan seperti kering dan basah, tidak rata dan juga saiz kenderaan anda. APEX akan membuatkan anda masuk ke selekoh lebih awal atau lebih lambat dan menentukan bila anda boleh menekan pedal pecut anda.



Gambar di atas menunjukkan sebuah selekoh dan APEX berada di tengah selekoh berkenaan di mana tulisan APEX diletakkan.

Terdapat empat garisan berwarna di situ dan hanya satu sahaja yang boleh digelar racing line iaitu warna hijau.

Garisan berwarna ungu merupakan garisan yang paling lewat sekali untuk memutar steering yang mungkin membuatkan anda tersentap steering dan menekan pedal dengan lebih banyak yang membuatkan kereta anda berpusing. Jadi elakkan untuk masuk terlalu lambat.


Garisan kuning pula adalah garisan yang tidak menggunakan APEX dengan sebaik mungkin, di mana apex diletakkan di dalam trek dan membuatkan anda tidak sempat untuk membuat sebarang pusingan.

Garisan oren pula meletakkan apex terlalu awal, ini membuatkan anda memusing steering lebih awal dan memaksa untuk brek yang berakhir dengan mengambil selekoh terlalu lambat atau hilang kawalan.

dan Garisan hijau adalah garisan yang mempergunakan apex sebaik mungkin dan mampu mengawal sebarang oversteer atau understeer kerana kereta sentiasa berada di tengah2 trek dan tak terkeluar landasan. Bagaimanapun kemahiran pemandu menjadi penentu untuk kelajuan jentera di selekoh.

Jadi bagaimana untuk menentukan lokasi apex di selekoh yang berlainan?

"practice make perfect" anda mungkin boleh memandu dengan perlahan dengan gear tinggi dan tanpa menggunakan brek anda mengambil selekoh. Cara ini yang kami praktikkan untuk memahami sesebuah apex di mana dengan gear tinggi atau rpm rendah, anda tidak boleh memaksa traction untuk berada di tayar anda dan tanpa brek, anda mungkin akan mengalami sedikit kesukaran di selekoh. Sehingga anda berjaya mengawal kereta anda dengan mudah dengan gear yg tinggi dan rpm rendah dan jarang menggunakan brek, anda mungkin telah berjaya mengesan apex dan juga melihat racing line yang sesuai dengan kereta anda.



Di atas adalah cara kami mempraktikkan pemanduan kami. berikut adalah jalan 2 lane dengan setiap lane mempunyai ruang yang luas. Dengan tidak mengganggu lane di sebelah, anda boleh menggunakan racing line sebaik mungkin di dalam satu jalan yang sempit. Jika keadaan agak sukar, anda sekurang-kurangnya mempunyai ruang untuk melakukan sedikit kesilapan dan terkeluar landasan sekali sekala. Dengan cara ini anda akan dapat menggunakan ruang yang lebih besar sebaik mungkin jika ruang yang kecil dapat anda fahami.

Selain mempraktikkan racing line, weight transfer, pengawalan g-force dan pedal control sangat penting untuk menjayakan sebuah racing line. Yang penting anda tidak panik jika kenderaan anda hilang kawalan dan sila praktikkan di kawasan yang selamat.





Saturday, January 1, 2011

BBQ tahun baru 2011



1 Januari 2011 adalah hari di mana kami mengadakan sisi BBQ kami di Banting. Bertempat di pantai Kelanang kami memulakan perjalanan kami tepat pukul 3.30 petang dari Kajang. Menyusuri Lebuhraya Putrajaya Kajang kami memilih jalan yang lebih tenang dengan memasuki jalan ke banting dari Cyberjaya.


Konvoi 4 kereta diketuai oleh Ali. Walaupun bukan semua ahli Konmei terlibat, tetapi lebih 5 orang ahli kami turut serta kerana ia merupakan aktiviti yang dicadangkan oleh rakan kolej kami iaitu Hasbie. Tiada masalah sepanjang perjalanan walaupun sebuah dari 4 kereta bukan dipandu oleh ahli kami. Saya yang memandu di belakang sekali juga tidak menghadapi sebarang masalah.


Kami tiba lebih kurang pukul 5 petang dan mula mencari tempat yang sesuai untuk bertapak. Mujur cuaca mengizinkan walaupun sedikit mendung tapi tiada tanda-tanda hujan akan turun. Tanpe berlengah lagi kami terus membentangkan tikar dan menghidupkan api. Senja telahpun tiba apabila api kami mula marak, Pemandangan indah dapat kami saksikan bersama dan itulah yang lebih berharga di mana kami berkumpul untuk melakukan aktiviti bersama. Tiada yang lebih bermakna dari kerja berpasukan dan berkongsi susah senang dengan rakan-rakan.


Setelah 2 tahun kami bertungkus-lumus dalam mengejar cita-cita kami, kami tak pernah lupa aktiviti seakan ini. Aktiviti yang dapat merehatkan dan menenangkan kami setelah usaha yang yang kami lakukan dan ia dapat mengeratkan lagi kerjasama antara kami. Walaubagaimanapun ia adalah Fokus, Disiplin dan Komitmen yang kami impikan, bukanlah kuasa.




Menu yang berteraskan makanan laut dipilih oleh rakan kami Hasbie yang mencadangkan aktiviti ini, antaranya seperti ikan bakar, sotong bakar, dan kerang bakar. Untuk melengkapkan lagi menu kami, sayuran seperti coleslaw dan ubi bakar turut dimuatkan dalam menu kami pada malam tu. Selepas pukul 7 petang beberapa makanan telah siap dibakar dan sedia dimakan. Tapi kebanyakan dari kami lebih komited untuk menyiapkan makanan yang lain dari menjamu makanan yang tak seberapa lengkap.






Secara kebetulan perlumbaan mini bike turut diadakan di situ pada malam itu. Kami secara tak lansung dapat menyaksikan perlumbaan yang disertai oleh beberapa kanak-kanak kecil yang menunggang mini bike berkenaan. Dengan racing line yang agak memberansangkan dan throttle control yang baik membuatkan kami kagum dengan kanak-kanak zaman kini. Mereka dalam lingkurangan lebih kurang 7 tahun dan telah memahami beberapa skill yang diperlukan. Semoga masa depan sukan bermotor Malaysia lebih cerah beberapa tahun lagi.


Aktiviti kami berakhir pada jam 11 malam dan mula mengemas meninggalkan tempat berkenaan. Walaupun hanya disertai 12 orang ia kelihatan agak riuh. Diharap aktiviti seperti ini akan diteruskan lagi di masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai ahli.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger