Pages

Wednesday, April 14, 2010

MBT01- Pelincir



Gambaran di atas menunjukkan sebuah botol pelincir yang tidak mungkin digunakan oleh mana-mana bahagian dalam atau luar kenderaan anda. Ia juga tidak dihasilkan untuk sebarang alat mekanikal melainkan peralatan yang terdapat pada diri anda. Juga sesuai untuk tangan yang kering akibat terkena aircond kereta anda.


Pelincir atau lubricant, atau engine oil atau minyak hitam atau minyak enjin digunakan untuk melancarkan pergerakan bahagian yang bergerak dalam enjin anda untuk mengurangkan geseran yang mengakibatkan hakisan dan haba, juga mengelakkan pengaratan dan sebagai bahan untuk mengurangkan bunyi dan juga gegaran yang terhasil akibat pergerakan enjin anda.

Biasanya jika anda ke bengkel, anda akan diberi pilihan pelincir jenis Mineral, Semi Synthetic atau Fully Synthetic, tapi apakah perbezaan antara ketiga ini?

Mineral oil adalah sejenis pelincir asas, mempunyai kebolehan untuk mencapai mileage 5000km, ia biasanya untuk jenis kereta yang menggunakan part enjin yang besar kearasa viscosity yang agak tinggi. Kebanyakan kereta bawah 2000cc akan menggunakan minyak jenis ini begitu juga enjin diesel.

Semi synthetic, campuran synthetic pada pelincir mengakibatkan ianya mampu membawa anda sejauh 7000km dan membantu mengurangkan hakisan dan geseran walaupun ketika enjin anda sedang dimatikan kerana ia berupaya melekat pada setiap part enjin.

Fully synthetic, minyak yang melekit dan biasanya datang dengan viscosity yang lebih nipis seperti 0w-50 atau 5w-50, sangat nipis seperti kelikatan air, ianya digunakan untuk enjin yang lebih rumit dan mempunyai part yang lebih kecil. Ia mampu membawa kenderaan anda sejauh 10,000km hingga 30,000km bergantung kepada jenis pelincir anda. Sesuai untuk mereka yang selalu merantau jauh kerana ia akan menjaga enjin anda sebaik mungkin. Walaubagaimanapun kerana ia agak nipis, ia tidak membantu mengurangkan bunyi dan gegaran yang terhasil, dan sebarang ruang kecil yang terhasil akibat geseran juga tidak dapat ditutup oleh pelincir jenis ini. Jadi jika kereta anda sudah melepasi mileage 100,000km tidak digalakkan menggunakan viscosity yang nipis seperti ini. Ia juga mungkin mengakibatkan prestasi enjin anda menurun.

Kekerapan menukar pelincir anda adalah 3 bulan atau selepas mencapai mileage yang disarankan oleh pelincir berkenaan. Jika anda tidak berjalan jauh, anda dinasihati menggunakan pelincir jenis mineral atau semi synthetic yang lebih murah supaya anda dapat menukar dengan lebih kerap. Selepas 3 bulan, pelincir yang terkumpul di bawah akan bertukar menjadi selut dan tidak akan berfungsi sebagai pelincir sepenuhnya.




Apa yang lebih penting pada sesuatu pelincir bukanlah harga atau keupayaannya melekat pada enjin anda, tetapi viscosity atau kelikatannya. Society of Automotive Engineering atau SAE telah menetapkan taraf kelikatan sesebuah pelincir itu dan diberi sukatan pada nombor. Kebanyakan pelincir untuk enjin jenis petrol mempunyai dwi viscosity atau kelikatan yang berbeza pada suhu sejuk dan panas.

Ini kerana pada suhu sejuk, enjin anda memerlukan pelincir dengan kelikatan yang lebih nipis manakala pada suhu panas, ia perlu lebih tebal. Nombor seperti SAE 0w-50, SAE 5w-50, SAE 15w-50, SAE 10w-30, SAE 10w-40 adalah contoh dwi viscosity sesebuah pelincir. Pada suhu sejuk (w untuk winter), sesebuah pelincir akan mempinyai kelikatan 0-15 dan pada suhu panasnya ia kana berubah menjadi kelikatan 30-50.

Untuk kereta jenis 2000cc dan kebawah, kelikatan yang sesuai adala 10w-40 atau 15-w50 atau 20w-50. Dan kereta jenis kecil bawah dari 1000cc pula menggunakan kelikatan jenis 10w-30. Tetapi terdapat perbezaan pada setiap enjin yang memungkinkan anda mencuba viscosity yang berlainan. Terdapat perbezaan juga pada setiap jenis jenama pelincir yang menawarkan lebih perlindungan berbeza.

Oleh itu sebelum memulakan perjalanan anda, pastikan anda mengambil masa sekurang-kurangnya 40saat untuk pelincir anda memberi keselesaan kepada part yang sedang bergerak.

Thursday, March 25, 2010

MBT-01 Brake




Digunakan untuk memperlahankan atau memberhentikan kereta anda, ia dipanggil brek. Suisnya terletak pada pedal kedua dari kanan di kaki pemandu dan disambungkan dengan sistem hidraulik kepada cakera dan pengapit di setiap tayar anda.

Brek hadapan setiap kenderaan biasanya berbentuk disc brake atau cakera. Sekeping besi bulat akan diapit oleh pengapit. Di bahagian belakang pula ada sesetengah kereta yang menggunakan brek jenis drum dan ada yang menggunakan jenis disc.

Perbezaan pada drum dan disc? Drum brake lebih murah harganya dan tidak perlu diselenggara dengan kerap, manakala disc brake lebih mahal dan brake padnya lebih cepat haus dari drum brake. Sistem brake disc berfungsi lebih baik pada kelajuan tinggi manakala dalam keadaan statik, brake drum memberi cengkaman yang lebih jitu.

Misalnya pada keadaan pegun atau parking, sebuah brake drum beroperasi lebih baik walaupun pada cerunan bukit. Ia mampu menghalang kereta untuk bergerak. Manakala disc brake tidak sebaik drum brake pada keadaan statiknya, ia lebih baik beroperasi pada suhu yang lebih tinggi.

Jadi mengapa ada diantara kereta yang dibekalkan dengan disc brake pada bahagian belakang jika drum brake berfungsi dengan lebih baik?

Sebelum itu anda perlu tahu bagaimana sesebuah kereta diperlahankan atau diberhentikan, ia bukan bergantung kepada cengkaman brek semata-mata, tapi lebih kepada keupayaan sebuah brek untuk memerangkap lebih banyak haba. Tenaga tidak boleh dihapuskan tapi boleh berubah bentuk. Sebuah kereta yang bergerak mempunyai tenaga kinetik, dan untuk menghentikannya, brek akan menukarkan tenaga kinetik kepada tenaga haba yang dihasilkan pada brek dan tayar.

Sebuah disc brake kereta biasa mampu menghasilkan lebih 100 darjah selsius haba dan tidak lebih 300 darjah selsius. Ia akan memerangkap sebanyak haba yang boleh pada disc brakenya. dan haba berkenaan akan disejukkan melalui udara yang melaluinya. Ini akan menyejukkan disc brake dan sekaligus meningkatkan keupayaan sebuat disc brake untuk menghentikan kenderaan dengan lebih baik.

Jika anda mempunyai pengalaman menuruni sebuah gunung dengan kenderaan anda dan mendapati brek anda tidak berfungsi seperti biasa, ini bermakna brek anda telah mencapai suhu maksimumnya. Cara yang lebih baik adalah dengan menggunakan engine braking iaitu menggunakan gear rendah semasa menuruni bukit berbanding menggunakan brek anda. Lepaskan brek anda untuk seketika supaya anda boleh mengurangkan suhunya.


Kereta yang lebih laju akan dibekalkan brek yang lebih besar dengan material disc brake atau brake pad yang lebih baik. Begitu juga dengan pengapit atau caliper, brek yang lebih baik mempunyai caliper dengan empat atau lebih omboh yang membantu caliper mengapit dengan lebih baik.

Brake pad dan brake disc dengan material tertentu seperti titanium, ceramic atau carbon fiber mampu menyerap haba yang lebih tinggi atau mempercepatkan proses menyejukkan brek berkenaan. Sesetengah besi campuran pula mampu meningkatkan daya sebuah disc brake untuk menyerap lebih haba dari sebuah disc brake biasa.


Tuesday, March 16, 2010

MBT-01 Tayar


Sejenis getah sintetik bertulangkan dawai besi dan berisi angin sekurang-kurangnya 28psi. Terletak pada rim anda ia merupakan bahan penebat yang menyambungkan kereta anda dengan permukaan jalan sekiranya anda tidak melalukan perkara lain yang melucukuan.


Sejenis getah yang tidak asli ini berfungsi menggerakkan kereta anda dengan lebih efisyen. Ia perlu berbentuk bulat, berupaya menghasilkan geseran ke setiap arah dan berupaya memberi laluan kepada cecair untuk keluar dari permukaannya.

Merupakan nyawa anda ketika di dalam kenderaan anda yag bergerak, anda bergantung sepenuhnya terhadap kewarasan tayar anda dan daya geseran ang dihasilkan. Mengharapkan ia tidak hilang geseran, atau meletup di tengah jalan, anda perlu tahu bila tayar anda akan melakukan aksi berkenaan.

Tayar yang lebih lebar dari saiz asal yang dibekalkan oleh pengeluar akan memberi anda lebih cengkaman dan lebih kelajuan pada pecutan. Tetapi apa yang lebih penting adalah bahan yang digunakan oleh tayar berkenaan serta kompaun jenis keras atau lembut. Dikelaskan sebagai kategori street tire, Sport tire, Racing slick tire, ketiga kelas ini digunakan untuk tujuan berbeza.

Street tire, untuk mereka yang berada di jalanan menghabiskan masa yang bagus untuk ke pasar atau bekerja atau menghabiskan sisa-sisa hidup mereka yang tidak berguna. Karakter tayar ini adalah tahan lama dan murah. Kurang baik untuk kelajuan dan sedikit berbahaya untuk jalan basah. Taya jenis ini boleh bertahan sekurang-kurangnya 2 tahun atau lebih. bergantung pada perjalanan pengguna. Untuk mereka yang memandu kereta yang boleh mencecah kelajuan 100kmj kurang dari 12 saat, anda dinasihati mengelakkan tayar jenis ini.

Sport tires, tidak semestinya digunakan ketika anda pergi bersukan, tetapi untuk kereta anda yang sering bersukan. Tak kira sukan memecut atau larian sepanjang lebuhraya utara selatan atau kejar mengejar di bukit tinggi, ia sesuai untuk mereka yang agar terkejar-kejar. Tayar jenis ini mempunyai kompaun yang lebih lembut bermakna lebih cengkaman. Ia mampu menyelamatkan anda dari hilang kawalan ketika memandu dan mampu membuat poket anda hilang kewangan. Tayar jenis ini lebih kerap ditukar kerana cengkamannya yang tinggi. Jika anda menggunakan tayar jenis ini, anda mungkin tidak mahu menggunakannya dengan kasar secara kerap melainkan kewangan anda sangat baik. Juga dikenali setengahnya dengan panggilan semi slick tire.

Jika anda seorang yang sederhana tayar jenis Racing Slick bukanlah jenis yang anda mampu miliki, apatah lagi untuk berada di atas jalanraya dengan tayar ini. Ia cuma sesuai untuk sebuah kereta yang bersedia untuk berlumba dan biasanya digunakan di atas litar. Dengan rupanya yang huduh dan tak bercorak, ia mempunyai kompaun yang lembut yang memberi cengkaman yang sungguh jitu tidak seperti tayar murah yang mampu kita miliki! Tapi jangka hayatnya yang cuma boleh bertahan untuk beberapa kali pusingan litar membuatkan kita bersyukur dengan apa yang kita ada.

Diameter keseluruhan tayar juga memberi pengaruh kepada kelajuan kereta anda. Diameter lebih besar memberi kelajuan pada tahap tinggi manakala saiz yang lebih kecil memberi kelebihan pada pecutan. Tekanan angin dalam tayar juga penting, tekanan yang biasa akan memberi cengkaman dan tahan lebih lama. Lebih tekanan akan membantu pecutan tapi membahayakan anda di selekoh serta ia akan membantu memberi hayat yang lebih panjang pada tayar, tekanan yang tertentu akan membantu anda pada selekoh.

Ketebalan tayar mengubah keselesaan anda. Tayar yang lebih tebal memberi keselesaan tinggi manakala yang lebih nipis membantu anda dalam selekoh. Penggunaan tayar nipis memerlukan rim yang lebih kuat dan tahan lasak untuk mengelakkan sebarang kerosakan pada rim anda.


Thursday, March 11, 2010

MBT-01 suspension






Sistem suspension atau sistem gantungan merupakan sistem yang penting dalam menentukan kestabilan dan keselesaan kereta anda. Terdiri dari Spring dan Absorber di mana lingkaran spring bertugas untuk menyerap sebarang daya dari atas dan bawah dan 'Shock Absorber' untuk menyerap hentakan yang dihasilkan oleh beban kenderaan atau daya yang datang.


Sejarah suspension bermula dengan Leaf Spring, sistem spring yang tidak menggunakan lingkaran atau coil. 5 batang besi nipis yang bertindih diantara satu sama lain yang diikat pada setiap hujungnya. Besi ini akan melantun dari atas ke bawah setiap kali daya dikenakan. Dan terdapat Shock absorber akan bertugs menyerap hentakan. Spring jenis ini sangat tahan lasak dan digunakan oleh kebanyakan lori dan Pickup truck di zaman sekarang. Untuk menggunakan suspension jenis ini, kenderaan berkenaan haruslah tinggi dari permukaan jalan. Ia tidak sesuai dengan kereta kini yang lebih rendah.


Leaf Spring



McPerson

Jenis yang biasa ditemui lebih-lebih lagi pada bahagian hadapan kereta. Jenis ini menggunakan coil spring atau lingkarang spring. Jenis suspension ini menyatukan spring dan absorber. Di mana absorber diletakkan di dalam lingkarang spring dan dicantumkan.

Suspension jenis ini lebih keras berbanding jenis lain. Terdapat juga jenis 'adjustable' untuk Mcperson yang boleh diubah ketinggian dan tahap kekerasannya. Untuk setengah jenis Mcperson adjustable, ia mempunyai 2 spring pada setiap absorber. Spring kecil di bawah untuk keselesaan dan spring yang lebih besar di atas untuk mengawal damping force kenderaan berkenaan.


Tein Mcperson Fully Adjustable



Multi link suspension

Sering dilihat dalam kereta yang lebih selesa atau mungkin pada Perodua Viva anda. Lebih banyak digunakan pada bahagian belakang berbanding depan. Juga menggunakan lingkaran spring dan absorber tetapi pada bahagian berasingan. Awas, jika anda menggunakan sistem jenis ini dan menggunakan spring lebih pendek dari absorber, kemungkinan spring untuk keluar dari tempatnya adalah tinggi.





Setiap kenderaan mempunyai tujuan berbeza, ada yang diberi suspension yang lebih keras dan ada yang lebih lembut. Kebanyakan kereta biasa akan diberi suspension yang lebih lembut untuk keselesaan penumpang dan pemandu. Pemanduan aggresif adalah dilarang sama sekali untuk kereta jenis ini.

Walaubagaimanapun kekerasan tidak mampu menyelesaikan semua masalah. Di atas jalanraya suspension keras bukanlah satu perkara baik, ia akan memburukkan keadaan terutama di jalan beralun dan berlubang. Ia akan membuatkan kenderaan anda melambung, terbang ke angkasa dan mungkin mengakibatkan tulang anda terbelah dua.

Thursday, February 18, 2010

MCU-01 Pecutan



Gambar di atas menunjukkan sebuah lori sedang mengalami pecutan. Pecutan adalah proses perubahan halaju sesuatu jirim tidak kira kecil atas sebesar lori di atas. Dalam keadaan statik atau dinamik, setiap perubahan halaju yang membuatkan jirim itu bergerak lebih pantas dipanggil pecutan.

Anda dan pecutan

Sejak dari kecil anda telah dibiasakan dengan pecutan yang membuat anda cenderung untuk lebih laju. Sejak bayi, seseorang itu cenderung untuk berguling dari satu tempat ke satu tempat lain untuk bergerak, kemudian beralih kepada merangkak, dan kemudian berjalan, dan berlari. Setiap pergerakan anda membuatkan anda mengalami pecutan.

Manusia dan keinginan untuk terus bergerak laju adalah sesuatu yang normal. Bermula dengan menunggang haiwan, mencipta sebuah basikal, kereta, kapal terbang, hinggalah jet pejuang dengan kelajuan bunyi. Perasaan untuk pergi lebih laju sering menghantui manusia normal.


Kini anda mempunyai sebuah kereta. Tahniah diucapkan kepada yang mampu memiliki kereta sendiri. Anda kini boleh memecut lebih laju dari seekor singa. Jika anda mempunyai sebuah kereta yang mampu memecut dari 0-100kmj dalam 14 saat ke atas, anda mungkin seorang yang berhati-hati dan dilindungi oleh kereta anda. Tetapi jika anda mempunyai pecutan 0-100kmj kurang dari 14 saat, nyawa anda mungkin dalam bahaya. Pecutan yang sedemikian memerlukan pemahaman yang tinggi dalam fizik. Walaupun anda bukan ahli fizik atau seorang pelajar aliran sains, anda perlu tahu sesuatu mengenainya!



Memulakan pecutan

Setiap kali memandu, pergerakan pertama kenderaan anda adalah pecutan. Dari keadaan statik, iaitu tidak bergerak ke dalam keadaan bergerak. Setiap kali anda memulakan perjalanan, anda perlu ingat, setiap kali kereta anda memecut, enjin anda juga akan memecut. Bagaimana ia berlaku?

Enjin anda memberi kuasa dengan membakar petrol dan udara, kemudian ia akan menukarkan tenaga kimia berkenaan kepada tenaga kinetik yang kini memutarkan crankshaft anda dan seterusnya dihantar ke gearbox anda yang kemudian akan menggerakkan roda kereta anda.

Jika dilihat pada proses diatas, setiap kali anda memecut, banyak pergerakan yang akan berlaku di situ. Tidak seperti anda bayangkan, apabila kereta memecut, sebuah jirim akan bergerak! Tetapi ia melibatkan banyak pergerakan di situ yang membuatkan dunia ini tidak lagi mudah!

Selamat datang ke dunia yang sukar, dan anda kini akan memecut. Seperti biasa sila pakai tali pinggang keledar, betulkan kedudukan anda dan cermin pandang belakang. Kunci pintu kenderaan anda dan hidupkan enjin. Pastikan suhu enjin anda dalam keadaan yang optimum sebelum memulakan pecutan, jika tidak tunggu sekurang-kurangnya 40 saat jika enjin anda dalam suhu yang sejuk.


Pecutan dari keadaan 'parking'
Pecutan untuk keadaan ini tidak memerlukan pecutan yang tinggi. Untuk tujuan ini biasakan diri anda untuk memecut secara perlahan, jika anda menggunakan kereta manual, tukar gear di bawah RPM 3000 dan untuk kereta auto, kawal pedal minyak anda dan cuba bergerak dengan berhati-hati. Ia mampu menyelamatkan kereta anda kerana tidak terlanggar apa-apa objek, dan menjimatkan minyak serta mengurangkan kerosakan pada enjin anda.


Pecutan di jalanraya
Pecutan di jalanraya pada keadaan statik seperti semasa Traffic light bertukar dari merah ke hijau, memerlukan sedikit kesabaran. Tidak boleh terlalu perlahan dan tidak boleh terlalu laju untuk memberi keselesaan kepada penumpang. Beri ruang 2-3 saat sebelum memecut untuk memastikan tiada halangan di sekeliling anda dan mula memecut.

Berlainan di simpang, ini memerlukan anda untuk memecut lebih laju untuk keselamatan. Sebelum keluar dari simpang, pastikan keadaan selamat, dan apabila anda mula keluar simpang, pastikan anda memecut dengan kadar segera untuk mengelakkan kereta di belakang terkejut dengan kehadiran anda.

Dalam keadaan jalanraya yang padat, pastikan jarak yang selamat. Ia bukan saja mampu mengelak anda dari berlanggar, tetapi mampu menjimatkan minyak. Ini kerana apabila anda terlalu rapat dengan kereta hadapan, anda terpaksa menekan brek dengan banyak setiap kali kereta hadapan menekan brek. Dan terpaksa memecut semula dengan kadar segera. Jika ini berlaku berulang kali, anda telah memberi sedikit tekanan pada kenderaan anda. Jadi kekalkan jarak selamat.


Pecutan dan Kelajuan

Memecut dengan tujuan mendapatkan kelajuan maksimum untuk keadaan tertentu bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan di atas jalanraya. Dan ia tidak patut dilakukan di atas jalanraya atas faktor keselamatan. Artikel seterusnya hanyalah untuk tujuan kefahaman anda.


Untuk memecut dalam kelajuan maksimum, anda perlu mengorbankan keselesaan dan penjagaan kereta anda. Bagi kereta dengan transmisi automatik, memecut dengan maksimum mungkin perkara mudah. Anda hanya perlu menekan pedal dan terus memecut. Ini adalah untuk memecut di jalan lurus.

Bagi kenderaan dengan transmisi manual, memecut dengan maksimum memerlukan kefahaman yang tinggi dalam enjin anda. Sebelum melepaskan clutch untuk memecut, anda perlu menekan pedal minyak dan meletakkan RPM anda di tahap optimum di mana 'Powerband' anda di tahap optimum. Ini juga bergantung kepada jenis pacuan anda, samada pacuan tayar hadapan, belakang atau AWD.

Pacuan hadapan FF, cenderung untuk melakukan 'wheel spin" di mana tayar hadapan berputar tetapi kenderaan dalam keadaan statik. Jika anda terlebih melepaskan kuasa dari enjin anda, anda akan kehilangan geseran dan sukar melakukan pecutan. Jika terlalu kurang, anda menghadapi masalah untuk memecut dengan kadar maksimum.

Pacuan belakang, FR, MR, RR, agak sukar untuk mendapatkan 'wheel spin' berbanding FF, tetapi tidak mustahil. Dalam perlumbaan, kereta jenis ini lebih lambat memecut tetapi agak sukar melakukan kesilapan semasa memecut.

AWD pula menggerakkan keempat-empat tayarnya, anda boleh meletakkan RPM anda di mana saja kerana pacuan jenis ini baik ketika memecut.


Memecut pada selekoh memerlukan fokus yang tinggi. Dalam kelajuan tinggi pada selekoh, tayar akan hilang geseran akibat inersia yang tinggi. Setiap kali anda memecut di selekoh, kriteria seperti di bawah harus dikenalpasti :

- Bentuk kereta
panjang atau pendek, ini mempengaruhi kestabilan kereta anda. Kereta yang tinggi cenderung untuk terbalik, kereta yang rendah cenderung untuk hilang geseran dengan jalanraya. Kereta yang pendek mudah hilang geseran pada selekoh panjang ketika memecut, kereta yang panjang mudah hilang kawalan ketika memecut pada selekoh pendek.


-Sistem Suspension
Keras atau lembut, terlalu lembut akan membuatkan kereta anda cenderung untuk terbalik atau menerima g-force dan body roll yang berlebihan. Terlalu keras akan membawa kepada kehilangan geseran di atas jalan.


-Kuasa enjin
Terlalu kuat menyukarkan anda untuk mengawalnya, terlalu kurang akan menyebabkan ia tidak mampu menarik anda ke jalan kembali. Turbo lag akan mengejutkan kereta. Pedal control sangat penting dalam pengawalan kuasa enjin anda. Begitu juga dengan penggunaan gear. Selain kestabilan kereta, di sini skill anda akan diuji sepenuhnya.


-Tayar dan brek
Geseran bergantung pada tayar dan nyahgeseran bergantung pada brek anda. Kedua-dua ini saling berhubung. Pastikan anda kenali tayar dan brek anda.


Jika dilihat pada artikel ini, ia banyak berkait dengan artikel sebelum2 ini. Sila rujuk kembali artikel lain untuk memahami artikel seterusnya
bersambung....

Copyright-deadMeta 2010, All picture belongs to their respective owner. We do not own any of the picture unless stated. All article are 100% original.

Sunday, February 14, 2010

MCU-01 Keselamatan di Jalanraya




Benda yang paling bosan untuk dibincangkan! Ya, ramai akan menjawab, "aku tau la nak jaga diri aku", dan ade pulak yang menyampuk, "skema la siot ko ni!" dan ade yang berbunyi, "ape safety? takde feel nanti!"

Kesemua ayat di atas biasanya tehasil apabila seseorang itu memprotes tentang keselamatan di jalanraya. Mungkin agak bosan mengikut peraturan yang orang lain telah tetapkan. Tapi bagaimana dengan peraturan sendiri? Adakah anda akan melanggar peraturan sendiri? Peraturan yang anda tetapkan? Janji anda dengan diri sendiri? Mungkin ya, tapi peratusannya agak kurang!


Bagaimana anda boleh membuat peraturan sendiri di jalanraya dan selamat?
Jika anda tertanya soalan ini, anda seorang yg bijak, tapi tak cukup bijak lagi. Kita tahu, setiap peraturan sendiri akan berbunyi seperti, "AKU PUNYE SUKE LA!". Dan peraturan ini biasanya dibuat oleh orang yang tidak tahu menahu selok belok jalanraya, yakni orang yang baru dan tidak berpengalaman dalam pemanduan.

"Saya dah memandu lebih 10 tahun dan masih hidup tanpa sebarang peraturan."
Ini pula satu statement yg akan muncul apabila seorang itu bodoh sombong. Orang-orang begini patut diberi satu jemputan khas ke Litar Sepang dan belumba dengan pelumba-pelumba muda yang profesional supaya orang seperti ini akan terfikir, apa yang telah beliau buat selama 10 tahun memandu!


Berbalik kepada persoalan tadi, Bagaimana untuk menetapkan peraturan sendiri di atas jalanraya dan peraturan itu selamat?
Peraturan ini boleh menyelamatkan anda apabila anda telah mencapai kematangan dalam pemanduan. Jadi bagaimana itu boleh terjadi? Mungkin dengan berada dalam situasi yang bahaya dan cemas, anda boleh mempelajari sesuatu.


Mempelajari sesuatu yang bahaya tetapi tidak bahaya?
Ketika anda mula belajar memandu di sekolah memandu, perbuatan anda itu adalah sangat bahaya memandangkan anda tidak tahu apa-apa mengenai kenderaan yang anda pandu. Tetapi proses pembelajaran itu membuatkan anda boleh memandu dan keluar dari zon bahaya. Begitulah yang perlu anda pelajari berikutnya, kini anda boleh memandu tetapi anda belum tentu mahir memandu dan belum tentu mahir menggunakan jalanraya. Belajar untuk mahir memandu memerlukan seseorang yang lebih mahir dan memahami setiap kenderaan dan selok belok jalan untuk membimbing anda. Di sini, jumlah jam yang anda perlu untuk mahir bukan lagi ukuran, tetapi kesedaran anda dengan hal sekeliling anda.






Proses pembelajaran untuk mahir.
Anda telah mendapat lesen kenderaan, Anda tahu ketika anda masuk ke dalam kenderaan anda, anda perlu memperhatikan cermin pandang belakang, cermin sisi dan kedudukan memandu anda. Adakah anda sentiasa mempraktikkannya? Jika tidak, anda belum mahir lagi untuk memandu! Seorang pemandu mahir akan berasa tidak selesa apabila tidak dapat melihat belakang, dan sisi kenderaan mereka, juga kedudukan yang tidak selesa mampu membuatkan seseorang yang mahir itu gagal memandu. Ia seperti mereka hilang satu pancaindera mereka.
Begitu juga tali pinggang keledar, walaupun seorang pemandu professional, mereka akan sentiasa mendisiplinkan diri untuk memakai tali pinggang keledar, tidak kira di atas litar atau jalanraya, memandu atau tidak, mereka tahu bahaya sentiasa mengejar mereka kerana mereka sering terlepas dari bahaya. Anda yang belum berdepan dengan bahaya mungkin memandang remeh kepada bahaya tersebut. Tetapi seorang pemandu yang mahir, cukup berwaspada dengan bahaya, kerana itu musuh utama mereka yang bakal membawa mereka keluar dari panggilan pemandu mahir!



Mungkin gambaran di atas kurang selesa dilihat oleh sesetengah pihak. Mungkin ada yang tidak setuju dengan gambar di atas! Tapi mungkin ada yang suka melihat. Tetapi gadis di atas memberikan satu mesej yang sangat jelas! Ketika di dalam kenderaan, Tali pinggang keledar lebih penting dari baju anda! Ya, hanya jika anda memperhatikan gambar di atas dengan lebih positif.


Kini anda telah memperbetulkan panca indera anda, Iaitu cermin sisi dan cermin pandang belakang. Anda juga telah memakai tali pinggang keledar kerana anda terbayangkan gambar gadis di atas tadi. Anda mahu memulakan perjalanan dengan menghidupkan enjin? Mungkin anda mahu memerikan tekanan tayar anda. Tayar yang kurang tekanan akan membahayakan nyawa anda, ia juga akan membuat kereta anda meminta lebih petrol. Jika tekanan angin cukup baik, pastikan pintu kereta terkunci. Sebelum memulakan perjalana, ambil masa seminit untuk selepas menghidupkan kereta anda untuk memberi masa untuk minyak enjin anda melincinkan setiap permukaan enjin anda. Pastikan anda turunkan brek tangan dan mulakan perjalanan dengan berhati, Jangan terus memecut kerana mungkin ada kucing di tayar kereta anda yang belum bersedia untuk beredar atau mungkin ada anak jiran anda sedang bermain di hadapan kereta anda.


Kini anda memandu dengan cukup berhati-hati, anda sering perhatikan cermin sisi dan cermin pandang belakang. Di simpang, walaupun anda tidak membelik ke mana-mana simpang, pastukan anda memperlahankan kereta anda. Seringkali kita lihat jika di simpang, kereta yang akan bergerak terus akan menekan pedal memecut untuk mengelakkan kereta di simpang membelok. Alasan mereka? Mereka membayar cukai jalan, jadi jalan itu adalah milik mereka! Adakah anda seseorang yang tidak bertamadun seperti ini? Jika ya, sila ikut perangai mereka dan nikmatilah sumpah seranah dari orang yg labih bertamadun. Peduli ape kan? Bukan jadi ape pun.

Untuk mereka yang bertamadun, disarankan untuk memperlahankan kenderaan terlebih dahulu, mana la tau ade budak berlari ke, bola tercampak ke, walaupun anda memiliki brek dengan 4pot caliper dan ceramic disc brake, dan kereta anda berharga 1 juta ringgit, anda tidak mahu berada dalam situasi yang terkejut kerana anda mahu kelihatan profesional. Lagipun oleh kerana motivasi anda tinggi, anda tidak akan terlewat ke mana-mana tempat kerana anda bangun awal dan mempunyai perangkaan masa yang baik dan tepat.

Begitu juga di jalan kecil di kawasan perumahan, anda tidak perlu laju kerana walaupun di situ tiada papan tanda lembu melintas, mungkin terdapat kucing atau anjing melintas. Dan mungkin terdapat anak-anak kecil yang baru selesai melukis seekor lembu dan berlari ke arah bapanya untuk melintas tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Memotong di jalan seperti ini adalah sangat berbahaya, anda tidak mampu melihat apa yang terjadi disebalik kereta di hadapan anda. Kesabaran dan disiplin sangat penting di jalan ini. Anda mungkin lebih mudah tercabar di jalan seperti ini selain jalan di Genting Highland.

Lampu hijau di hadapan? 100meter dari anda? Nampaknya anda tidak memecut walaupun anda memiliki 300 kuasa kuda dengan kereta anda. Ini mungkin kerana anda sedang menghantar taufu dan tidak mahu memecut secara tiba-tiba dan merosakkan taufu anda. Anda terus memandu seperti biasa dan bersedia jika lampu bertukar merah kerana anda tidak mahu membrek secara mengejut dan merosakkan taufu anda. Tidak seperti kereta di sebelah yang tidak laju cuba memecut untuk mendapatkan lampu hijau dan akhirnya terpaksa melakukan brek mengejut sehingga hampir hilang kawalan di hadapan lampu yang bertukar merah di mana terdapat lori minyak sedang melintas dari arah lain selepas lampu itu bertukar merah. Anda hanya menggeleng kepala melihat telatah pemandu berkenaan.


Kini langit mendung, hujan mula turun, anda memperlahankan kereta anda walaupun tayar anda berharga RM400 sebiji dan berjenama Bridgestone. Ini kerana anda tahu suhu yang akan bertukar apabila tanah yang kering diselaputi cecair dan waktu itu suhu tayar tidak stabil dan akan membuatkan ia hilang kawalan. Anda cukup tenang pada waktu hujan, kerana cermin hadapan anda sangat jelas, ia dilindungi oleh cecair yang menghalang air melekat pada cermin hadapan anda dan anda sering memeriksa wiper anda. Anda juga berhati-hati dengan lopak-lopak air kerana anda tahu walaupun sebuah kereta dilengkapi dengan sistem AWD, Traction Control, Vehicle Stability Control dan Limited slip differential juga akan terbabas akibat lopak air.


Keselamatan jalanraya bergantung pada anda. Adakah anda memiliki kemahiran yang cukup untuk memandu? Pastikan anda sentiasa melindungi nyawa anda dan orang lain di samping menyelamatkan duit poket anda dan orang lain.


Copyright-deadMeta 2010, All picture belongs to their respective owner. We do not own any of the picture unless stated. All article are 100% original.

Friday, February 12, 2010

MAD-02 Pedal Control



Gambar di atas menunjukkan set pedal untuk sebuah kenderaan dengan transmisi manual. Dari kanan adalah pedal memcut (pedal minyak/accelerator pedal), di bahagian tengah adalah pedal brek diikuti pedal clutch. Di hujung bahagian kiri adalah left foot rest, bukannya pedal yang boleh ditekan-tekan tetapi ia membantu merehatkan kaki kiri anda terutama jika anda terperangkap dalam kesesakan jalanraya dan anda menggunakan clutch yang berharga RM2000 ringgit yang memerlukan kaki yang agak kuat untuk menekan clutch itu. Malangnya anda seorang yg pemalas dan tak terurus yang tidak terfikir untuk berada di gym untuk menguatkan kaki anda dan kerana itu kaki kiri anda tidak cukup kuat untuk menahan clutch pedal anda dan anda memerlukan left foot rest ini.


"Pedal control" atau pengawalan pedal adalah teknik asas yang perlu anda fahami sebelum berlumba atau melakukan sesuatu yang melucukan di atas jalanraya. Sudah tentu jika anda melakukan aksi yang memberansangkan, orang ramai akan kagum tetapi jika anda kelihatan seperti badut di atas jalan, anda akan diketawakan oleh beberapa orang polis sebelum menyaman anda. Bekerja di atas jalanraya memang memenatkan bagi anggota polis yang menjalankan tugas, tetapi orang seperti anda adalah hiburan kepada mereka.


Untuk kenderaan jenis baru, pedal clutch jarang ditemui. Ini kerana kenderaan jenis terbaru menggunakan transmisi automatik, atau CVT, atau mungkin Dual Clutch Transmission atau mungkin ia bukan kereta yang dihasilkan untuk digunakan di jalanraya dan menggunakan transmisi "sequential dogbox". Sebelum memulakan latihan anda, rujuk manual kereta anda dan ketahui jenis transmisi anda, dan jumlah gear. bagi transmisi selain CVT, perhatikan kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh setiap gear anda. Contoh, gear 1 kereta anda boleh mencapai 50kmj pada "redline" 6000rpm

Perkara ini boleh mengelakkan anda mengasari enjin dan gearbox anda dengan persefahaman yang kukuh. Hubungan antara kenderaan anda perlulah serasi sebelum melakukan aksi-aksi berbahaya atau kelakar di atas jalanraya. Tanpa persefahaman antara kereta dan anda, fantasi tak mungkin akan menjadi realiti sebaliknya membawa anda ke dalam mimpi ngeri!


MANUAL PEDAL CONTROL

Pedal control untuk kereta jenis manual adalah lebih sukar. Seseorang itu perlu tangkas dalam membuat pilihan, kerjasama antara tangan, kaki kiri dan kanan sangat penting. Dalam halaju tinggi, sebarang kesilapan hanya akan memperlahankan kereta anda atau membawa anda dalam bahaya.

Pedal control jalan lurus
Untuk mendapatkan sesuatu yang kita panggil "perfect launch" bukan sesuatu yang mudah. Terlebih kuasa akan mengalami "wheel spin" yang membuatkan anda kehilangan beberapa mili saat. 10 mili saat sangat berharga dalam "launching". Ia penentu anda di depan atau belakang. Enjin dengan torque tinggi cenderung untuk melakukan "wheel spin". Jika torque enjin anda sangat besar, elakkan untuk meletakkan RPM anda terlalu tinggi, cukup sekadar pada RPM 1500 atau 2000 sahaja bergantung pada prestasi tayar anda. Biasanya enjin jenis ini akan memulakan launch dengan kelajuan biasa dan setelah mencapai RPM tertentu barulah pemandu akan menekan pedal ke tahap maksimum. Dengan meletakkan timing yang tinggi mungkin perkara baik untuk kereta jenis ini. Tetapi ia semua bergantung pada spesifikasi enjin. Bincang dengan mekanik anda.

Untuk enjin high-end di mana RPM tinggi diperlukan, Jika anda menggunakan "high profile camshaft" dengan degree yang tinggi, Rev yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan "perfect launch". Dengan enjin yang biasa, kadar RPM 3000-4000 sudah mencukupi. "wheel spin" yang banyak bukan menunjukkan enjin anda kuat sebaliknya kefahaman anda yang sangat cetek.


Selepas anda selesai dengan "perfect launch" anda, kini anda berhadapan dengan "perfect shift" untuk setiap gear anda. Deria keenam anda semasa memandu perlu dihidupkan. Di sinilah persefahaman antara kereta anda dan diri anda berfungsi sepenuhnya. Anda boleh memahami kuasa puncak enjin anda dengan memandu kereta anda dengan satu gear. Misalnya pada gear 2, anda menekan pedal dengan satu sentuhan, katakan 50% sahaja pedal ditekan, dan kereta anda semakin laju pada RPM 4000 dan kembali hilang kuasa pada RPM6000. Ini bermakna kuasa kereta anda berada pada RPM4000 hingga 6000, tukar gear anda perlu menukar gear dengan cepat pada RPM6000 dan akan menghasilkan "perfect shift".

Setiap kali anda menukar gear, anda tidak mempunyai masa untuk melihat meter anda, dan mungkin dalam keadaan tertentu anda perlu menukar gear dengan RPM tambahan seperti ketika mendaki bukit. Di sini deria keenam anda sangat-sangat diperlukan.

Downshift atau menukar gear ke bawah juga memerlukan anda teknik baru dipanggil "double clutching". Apabila anda menukar gear ke bawah, gerigi akan menghalang anda untuk masuk dengan lancar, apa yang perlu anda lakukan di sini adalah dengan menggerakkan gear berkenaan. Katakan anda dalam gear 4 ke gear 3.
1.Tekan clutch anda
2. masukkan ke gear Neutral
3. lepaskan clutch
4. tekan pedal minyak untuk menaikkan RPM kereta anda
5. lepaskan pedal minyak dan dalam masa yang sama tekan pedal clutch
6.masukkan gear 3 dan lepaskan clutch.

Semua proses di atas sepatutnya berlaku beberapa saat sahaja. Kecekapan kaki dan tangan anda diuji di sini.


HEEL and TOE
Tumit dan jari kaki, teknik digunakan oleh kaki kanan anda di mana ibu jari akan menekan brek dan tumit akan menekan pedal minyak. Teknik ini digunakan ketika downshift ketika anda menggunakan teknik 'double clutching'. Semasa proses double clutching, anda mungkin perlu menekan brek untuk memperlahankan kereta, dalam masa yang sama anda perlu menekan minyak untuk membenarkan gear bergerak ketika anda berada dalam gear neutral. Jadi proses mungkin begini:

1. brek ditekan oleh ibu jari kaki kanan, clutch ditekan kaki kiri
2. brek masih di ditekan kaki kanan, clutch ditekan kaki kiri dan gear neutral dimasukkan dan clutch dilepaskan kaki kiri
3. brek ditekan kaki ibu jari kaki kanan, tumit kanan menekan pedal minyak
4. brek masih ditekan ibu jari kaki kanan, tumit kanan dilepaskan dan kaki kiri, gear dimasukkan
5. clutch dilepaskan kaki kiri, brek dilepaskan ibu jari kaki kanan dan kaki kanan kembali ke pedal minyak

Pedal control di selekoh.
Di selekoh dalam keadaan laju, pedal control sangat penting selain keadaan kereta anda dan racing line anda. Tanpa pedal control yang betul, pengalihan beban dan penghantaran kuasa tidak akan berlaku. Setiap kali waktu selekoh, ketahui bila untuk melepas pedal minyak dan menekannya. Perbuatan ini akan memberi kuasa kejutan kepada kereta, dan beban boleh dipindahkan dengan teknik ini. Oversteer atau understeer boleh dikawal dengan teknik ini. Sekali lagi deria keenam anda akan digunakan.


Begitu juga pengawalan pedal brek di selekoh. Teknik "human ABS" perlu dipelajari. Jika anda tersilap membuat andaian di selekoh, menekan brek secara mengejut adalah bahaya dan boleh membuat kereta anda hilang kawalan. Teknik human ABS berfungsi sama seperti ABS, bezanya ia lebih efektif dari sistem ABS kerana ia cuma berfungsi waktu anda memerlukan dan dikawal oleh anda sendiri. Semasa dalam keadaan panik, mungkin anda terlupa untuk menggunakan tekni ini. Jadi setiap kali anda menekan brek, biasakan dengan penggunaan teknik ini:

1.Tekan brek dalam 50% sehingga anda merasakan brek sedang mencengkam disc anda
2. Tekan brek lebih dalam, mungkin 80% hingga 100% bergantung pada kelajuan
3. Lepaskan brek ke 50% seperti no.1 dan ulangi langkah 2 dan 1 berulang kali

Fahami bagaimana untuk menggunakan teknik ini. Setiap keadaan akan memerlukan daya yang berbeza dan kekerapan yang berbeza.


Left foot braking
Teknik yang menggunakan kaki kiri untuk menekan brek. Kaki kiri anda perlu dihidupkan untuk menekan brek secara lembut. Kaki kiri yang tidak dilatih akan menyebabkan anda menekan brek secara mengejut. Teknik ini digunakan untuk mengambil selekoh yang laju untuk mengelakkan kehilangan kuasa.

Untuk kereta jenis FR,MR,RR, teknik ini akan membuang bahagian belakang kereta ke tepi kerana tayar depan akan dikunci dan tayar belakang masih berpusing. Teknik heel and toe juga boleh digunakan untuk tujuan ini.



Pedal control untuk transmisi automatik.

bersambung.....


Copyright-deadMeta 2010, All picture belongs to their respective owner. We do not own any of the picture unless stated. All article are 100% original.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger